Larian 1Murid cipta rekod MBOR larian paling ramai


02/07/2011 2:07pm



TAIPING 2 Julai – Seramai 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak Satu Murid Satu Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan hari ini sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar.

Larian sempena majlis pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Dataran Perbandaran Taiping di sini pagi ini.

Selain penyertaan pelajar, guru dan ibu bapa, larian berkenaan turut berlangsung serentak di 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah Kolej Matrikulasi seluruh negara.

Pada majlis pelancaran di sini, Timbalan Perdana Menteri melepaskan 15,000 peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari sekitar Taiping.

Larian tersebut bermula pada 7.45 pagi dan para peserta seluruh negara berlari sejauh 1.5 kilometer (km) manakala peserta di Taiping berlari pada jarak 1.85 km di sekitar Taman Tasik Taiping.

Penyertaan 4,137,126 peserta itu dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar dan diisytiharkan sebagai rekod baru oleh Diana Paul dari MBR dalam kategori larian serentak.

Larian serentak terbesar yang direkodkan MBR sebelum ini ialah larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2000 dengan penyertaan 2.3 juta peserta.

Turut menyertai Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam larian pagi tadi ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dalam ucapan semasa merasmikan program tersebut, Muhyiddin turut menekankan bahawa sukan merupakan satu platform dalam pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah murid-murid selain membentuk integrasi nasional.

"Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah, setiap guru dan kakitangan sekolah,” katanya.

Larian berkenaan bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Kementerian sebelum itu mengumumkan hari larian berkenaan boleh dijadikan sebagai hari persekolahan oleh sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, kerana selain acara larian itu, sekolah juga hendaklah mengadakan aktiviti pendidikan seperti hari persekolahan biasa. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...