Keceriaan Merdeka tanam erti kemerdekaan

DALAM menghangatkan sambutan kemerdekaan yang disambut saban tahun, Jabatan Penerangan telah menganjurkan Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011 bertujuan memupuk semangat patriotik rakyat dalam menunjukkan rasa cinta terhadap negara.

Pertandingan yang diadakan sepanjang bulan Kemerdekaan itu antara lainnya untuk memberikan penghormatan dan menghargai rakyat Malaysia yang bersungguh mengibarkan Jalur Gemilang sempena dengan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia yang disambut pada 31 Ogos dan 16 September lalu.

Ketua Pengarah, Jabatan Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman berkata, beliau berpuas hati dengan sambutan yang diterima untuk pertandingan yang memasuki kali kedua penganjurannya tahun ini.

Katanya, tahun lalu, hanya sekitar 50 penyertaan sahaja yang diterima dari seluruh negara untuk semua kategori yang dipertandingkan.

"Alhamdulillah tahun ini kita mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di mana sebanyak 343 penyertaan telah kita terima dan ini merupakan suatu yang baik dalam usaha kita untuk menyemai semangat kemerdekaan dalam diri masyarakat.

"Insya-Allah kita akan teruskan program ini pada tahun hadapan dan kita juga akan menambah satu lagi kategori baru iaitu kategori menghias kenderaan dengan jalur gemilang dalam," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Keceriaan Merdeka 2011, di Hotel Royal Chulan, malam Selasa lalu.

Dalam pertandingan itu sebanyak lapan kategori telah dipertandingkan iaitu kategori bangunan kerajaan dan bangunan swasta yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM3,000 dan trofi, kampung dan taman perumahan yang menawarkan hadiah berupa trofi dan wang tunai RM10,000, individu (rumah kediaman) (RM2,000 dan trofi), pintu gerbang (RM5,000 dan trofi) dan anjung komuniti 1Malaysia (RM2,000 dan trofi).

Pemenang adalah terdiri daripada Jabatan Kerja Raya, Bahagian Bintulu, Sarawak (kategori bangunan kerajaan), Perniagaan 2A Bersatu, Taman Pasir Puteh, Johor (kategori bangunan swasta), Rumah Panjang Rantau Kemiding, Rumah Benjamin Angki, Konawit Sarawak (kategori kampung) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Mohd Taha, Gemenceh, Negeri Sembilan (kategori sekolah).

Pemenang lain pula adalah Rancangan Perumahan Awam Arau, Perlis (Taman Perumahan), Majlis Daerah Gerik, Perak (Pintu Gerbang), Anjung Komuniti 1Malaysia Kampung Tok Kaya Machang, Kelantan (Anjung Komuniti 1Malaysia) dan Ahmad Termizi Abdul Hamid dari Kampung Air Suda 2, Gerik Perak (Individu).

Hadiah disampaikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim.

Menurut Ibrahim, asas utama penilaian adalah dari aspek kreativiti, daya tarikan dan nilai tambah merangkumi kepelbagaian hiasan dan reka letak bendera, membuat bendera dengan penggunaan flora dan bahan-bahan terpakai serta paparan lukisan, pantun atau slogan yang menterjemahkan tema sambutan kemerdekaan.


Utusan online 4/10/2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...